Resepi Almond London Sedap

WhatsApp Image 2018-03-22 at 12.03.51

Sejak dua tiga minggu ni aku agak rajin mencuba resepi-resepi biskut almond london yang aku cari sendiri di internet.

Ada beberapa resepi yang aku cuba, aku rasa kena dengan tekak aku, tapi ada juga tidak. Walaubagaimanapun, itu tidak bermakna ia tidak sedap. Ini kerana bila aku bagi orang rasa kesemua hasil almond london dari resepi yang berbeza, masing-masing tukang rasa tu semua kata sedap.

Okey, jadi hari ini aku nak kongsi resepi almond london yang pada aku tekstur dia bila makan tu, masuk dalam mulut tu rapuh, tapi tidak hancur di tangan.

Resepi yang aku buat ni boleh dapat dalam 80 hingga ke 90 biji. Bergantung kepada berapa besar saiz yang korang boleh buat.

 

Resepi Almond London style Jojo.

Untuk Doh:

125 gram mentega/marjerin

45 gram gula ising (boleh nak tambah sampai 75 gram, tapi aku lebih suka tak manis sangat sebab coklat tu pun dah manis)

1 biji kuning telur

Sedikit esen vanila

25 gram nestum (nak kisar bagi hancur boleh, tapi aku tak kisar, jadi bila makan tu rasa macam ada serdak-serdak sikit)

100 gram tepung gandum

125 gram tepung jagung

1 sudu besar tepung beras

2 sudu besar susu tepung

Badam secukupnya (aku beli badam peket kecil kat kedai bakeri, tak silap aku berat dia 225 gram. aku guna tak habis pun. Masih ada baki lagi)

Badam hancur (kasar) secukupnya

Papercup kecil secukupnya. (Aku guna papercup warna hitam. Kat kedai 2 ply harga dia RM 6.00, ada sesetengah jual RM 4.50. Yang ni kena rajin survey. Aku pun lambat tahu, rupanya ada kedai yang jual lebih murah).

 

Langkah-langkah:

  1. Bakar badam dan badam hancur dahulu.

 

WhatsApp Image 2018-03-22 at 12.02.47

Mula-mula sekali, kita kena bakar badam dulu. Nak sangai atas kuali pun boleh. Tapi aku malas nak jaga kuali sangat jadi aku bakar saja dalam oven. Aku bakar dengan 150 darjah celcius, masa dalam 5 minit, lepas tu aku balik-balikkan, tambah lagi 5 minit, berulang-ulang hingga aku tengok ada sesetengah badam tu macam dah merekah (bukan hangit ya) kemudian aku rasa. Rasa macam dah keras-keras sikit tu, aku bagi sejuk dulu. Selalunya, masa dah sejuk tu dia akan rangup sepenuhnya. Benda ni memang aku banyak try & error. Leceh tapi berbaloi.

Begitu juga dengan badam hancur. Aku masuk dalam loyang biskut, bagi selerak sikit, bakar sekejap-sekajap. Badam hancur ni cepat masak. Jadi kena berhati-hati sikit, takut dia hangus dan gelap.

 

2. Buat adunan doh.

Masukkan mentega/marjerin dan gula ising dalam mangkuk aduan. Kacau hingga sebati. Bila guna gula ising ni dia cepat sikit nak sebati dengan mentega/marjerin berbanding gula kastor.

Kemudian masukkan telur kuning. Kacau hingga sebati. Masukkan juga esen vanila. Bagi bau wangi sikit. Ada beza tau adunan yang menggunakan telur dan tidak. Bagi sesiapa yang suka biskut tu rangup, boleh buat adunan ini tanpa telur. Tapi yang suka biskut rasa rapuh dan gebu gebas gitu, hah, masukkan saja kuning telur tanpa rasa ragu-ragu okey.

Selepas itu, masukkan pula nestum. Kacau hingga sebati dengan adunan yang sedia ada. Disebabkan aku tak kisar, jadi bila aku kacau nestum dengan adunan tu, dia macam ada bunyi kerangupan di situ. Tapi tak bermakna adunan ni akan rangup, sebab aku dah masukkan kuning telur tadi. Jangan lupa ya.

Selepas itu masukkan segala jenis bahan yang berunsurkan tepung seperti yang aku tulis di atas. Macam aku buat, sewaktu nak sediakan bahan-bahan, aku akan siap-siap satukan bahan kering dan kemudian aku ayak sekali dan masukkan dalam bekas yang sama. Jimat penggunaan bekas. Basuh pun tak banyak. Hua hua hua.

Lepas tu, kacau adunan tersebut hingga menjadi doh dan tak lekat di tangan. Seterusnya bermulalah episod menggentel adunan untuk biskut. Ambil sikit sebesar duit syiling 50 sen (yang terkini) kemudian masukkan badam yang telah sejuk tadi.

Ikut lah besar mana. Aku lebih suka buat kecil-kecil just sesuai dengan saiz badam. Biar masuk mulut terus sekali senang.

Sebelum masukkan adunan yang telah dibentuk tadi ke dalam oven, pastikan oven telah dipanaskan terlebih dahulu. Aku panaskan oven dalam 15 minit awal dengan suhu 150 darjah celcius.

Kemudian aku bakar biskut tu dalam masa 20 minit, atau sehingga aku tengok bahagian bawah biskut tu warnanya keperangan sedikit.

Untuk suhu oven ni dia berbeza-beza mengikut jenama. Kita kenal oven sendiri dulu. Ada sesetengah resepi akan cadangkan bakar biskut dalam 160 -170 darjah celcius. Tapi untuk oven aku tak sesuai, mahu rentung karang biskut aku.

Jadi nak kenal oven sendiri, memang kena try & error. Aku try & error pun banyak kali juga, hingga ada yang overcooked dan hangus kek dan biskut aku yang aku buat demi mencari suhu dan masa yang ideal. Tak rugi mencuba. Ianya akan membantu korang untuk buat kek dan biskut yang dibakar dengan lebih baik di masa akan datang.

Lepas dah bakar, sejukkan dulu biskut korang dan sambil tu boleh buat salutan coklat.

 

3. Buat salutan coklat.

Untuk salutan coklat ni aku guna dua chocolate compound yang berbeza. Aku guna jenama Beryls dan ternyata boleh tahan sedap juga. Chocolate compound Beryls ni boleh beli di kedai bakeri. Ada jual dalam bentuk bar dan juga coins. Aku guna yang coins. Satu, mudah nak timbang. Dua, tak perlu nak potong-potong. Tiga, mudahkan proses pencairan ketika double boiler. Kerja jadi mudah dan cepat sikit. Harga aku beli kat kedai bakeri 2 ply dalam RM 16.00 sekilo. Kat kedai Yummie Bangi tu pula dalam RM 13.90 sekilo.

Okey kita teruskan untuk buat salutan coklat tu. Mula-mula panaskan periuk yang berisi air atas dapur.

Dalam mangkuk  yang lain aku campurkan dark choc, white choc dan juga sedikit minyak jagung kedalam mangkuk.

Cara aku buat double boiler, aku guna mangkuk yang bahagian bawah cukup-cukup muat dengan mulut periuk tu. Ini bagi mengelakkan wap-wap air panas tu masuk dalam coklat ketika proses pencairan.

Bila air tu macam baru nak mula mengelegak aku terus matikan api, dan aku letak mangkuk yang berisi coklat ke atas periuk. Kacau hingga cair dan sebati.

Kalau nak guna air panas Coway or Cuckoo tu pun boleh juga. Masukkan dalam mangkuk atau periuk yang bersesuaian dan seterusnya letak mangkuk coklat tu. Kacau coklat tersebut hingga sebati. Kerja lagi jadi mudah. Tak perlu jerang air.

Kenapa aku guna white choc? Ini aku punya pendapat sendiri hasil daripada cubaan-cubaan aku yang lepas. Pada aku, bila aku guna 2 choc ni, warna dia akan lebih menarik, rasanya pun lebih berlemak dan lebih rasa choc.

Awal-awal aku buat almond london, aku guna gabungan dark choc dan milk choc. Pada aku ia sangat manis dan tak kena dengan tekak aku. Warna agak gelap. Itu pada akulah. Tapi tiada masalah kalau korang nak guna milk choc. Terpulang pada selera masing-masing.

 

4. Salutkan biskut dengan choc.

Bila choc dah cair maka maka kita sudah boleh mula proses menyalutkan biskut dalam choc. Aku lebih suka biskut tu direndam dalam choc tu, dan kemudian terus masuk dalam papercup. Cara begini akan menjadikan biskut kita tu disalut dengan sepenuhnya oleh choc tu.

Ada sesetengah orang dia hanya terus masukkan choc dalam papercup yang telah berisi biskut. Bila choc tu keras, jadi kita boleh lihat bahagian bawah tiada choc, bahagian atas saja ada choc. Tapi itu terpulang pada korang lah.

Untuk salutan choc ni, aku guna penyepit kecil. Mudah untuk aku rendam biskut tu, dan kemudian alihkan ke dalam papercup. Terletak cantik. Percayalah, dalam banyak-banyak proses untuk buat biskut ni, aku paling suka part ni.

Seronok tengok gabungan biskut dan coklat. Hua hua hua.

Okey seterusnya, baru letak badam hancur kat atas biskut yang yang telah disalut coklat.

Bagi dia sejuk. Kalau macam aku yang malas nak tunggu lama-lama ni, aku susun siap-siap biskut-biskut tersebut dalam dalam loyang panjang seeloknya loyang besi tu. Dan kemudian aku masukkan dalam peti sejuk bahagian bawah. Letak lah dalam tu lebih kurang 5 minit, dan kemudian keluarkan. Confirm cepat beku korang punya almond london tu!

Panjang pula aku taip untuk resepi almond london ni.

Buat biskut ni agak leceh sikit. Banyak proses dia. Tapi bila dah siap. Lepas tu kau bagi pula orang makan, kemudian dia kata sedap, percayalah! terus rasa penat kau hilang.

Tapi kalau korang rasa susah dan malas nak buat, boleh je order dengan aku. Hua hua. Aku jual dalam RM 30 untuk 50 biji.  Nampak tak permainannya disitu.

Tips terakhir, jangan lupa buat dengan kasih sayang ya. Sebab bila kita memasak dengan separuh hati secara tak langsung makanan itu akan jadi takde rasa. Rasa tawar. Rasa tak best. Eh panjang pula aku mengarut.

Selamat mencuba!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Untuk salutan coklat:

350 gram dark choc coin Beryls

50 gram white choc Beryls

1 sudu besar minyak jagung/shortening/butter (bagi choc nampak kilat dan cantik gitu)

 

Panggilan Bokde or Makcik?

Dalam bahasa Jawa, panggilan ‘Bokde’ tu ialah Makcik.

Selalu budak-budak yang datang rumah aku, mereka akan guna panggilan Cik. Nak lagi penuh Cik Tikah.

Tapi, bila makcik kau suruh cucu dia panggil kau ‘Bokde Tikah’ . Oh apasal aku rasa macam makcik dah separuh abad bunyinya.

Jadi aku nak tukar jadi glamer sikit, panggil lah kita Auntie Jojo.

Barulah dengar macam makcik yang cool gitu.

Sindrom penafian umur

Sejak akhir-akhir ini aku agak lemah sikit buat kira-kira.

Contoh paling terdekat, kadang-kadang aku lupa umur sendiri berapa. Dan makan masa pula aku nak tolak tahun semasa dengan tahun lahir aku.

Jadi aku merasakan tiap-tiap tahun umur aku adalah 30 je. Tapi bila aku wish besday kat orang mesti aku tertambah satu tahun. Contoh umur orang tu 33 tapi aku wish 34.

Eh?

Sindrom penafian kah ini?

Pisang Goreng Sedap di Shah Alam

SARA

Tengah cari benda nak dikunyah time petang-petang ke tu? Best kalau dapat makan pisang goreng panas-panas hidang sekali dengan air teh ‘o panas.

Fuh rasa perasaan dia rasa macam kat kampung. Dapat lepak-lepak depan laman rumah, sambil merasai angin sepoi-sepoi bahasa. Huhu. Heaven kan!

Kalau rasa malas nak masak sendiri pisang goreng. Korang boleh try pisang goreng Azmi kat seksyen 18 ni.

Ni antara favorite kedai pisang goreng saya. Rangup dan sweet-sweet je rasa dia. Tak tebal sangat. Memang just nice. Bila masuk mulut tu. Fuh, memang terliur lah i tell you.

Saya tak suka sangat pisang yang bercheese atau yang dah berinovasi.

Tadi pun saya pergi pisang tak ready lagi, tapi orang dah beratur tunggu. Punya fenomena.

Senang je nak cari gerai pisang goreng ni.

Sebelum ni gerai pisang goreng azmi ni kat depan KTM Shah Alam Seksyen 19. Tapi dia dah pindah. Tak jauh pun dari KTM Shah Alam tu. Seksyen 18/40, betul-betul hadapan Tadika PASTI. Gerai buka setiap hari kecuali hari jumaat minggu kedua & keempat. Jam 12.30 dah buka dah. Sampai petang je tau.

Kalau tak pun korang google je okey. Semua kan dihujung jari. Ni facebook dia Azmi Goreng Pisang.

Hutang Tertunggak?

gambar handphone

 

Tengah hari tadi aku ada terima panggilan dari nombor 1800388888.

“Hello, ini Cik Jojo (bukan nama sebenar)ke?”

“Saya (aku lupa nama dia), dari Hong Leong Customer Service.” Dia perkenalkan diri.

“Hong Leong? Okey.” Dalam hati dah ingat mamat ni nak promote kad kredit.

“Cik didapati mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak (aku tak ingat berapa, tapi ribu-ribu juga).” sambung dia lagi.

“Kad kredit? Hong Leong?”Aku tanya lagi.

“Ya.” balas dia.

Aku tanya tiga kali pasal Hong Leong tu untuk pengesahan.

Akhirnya aku balas, “Sorry I tak guna Hong Leong.”

“Tapi….menurut rekod..”

Belum sempat dia habiskan ayat, aku terus potong. “You ni scammer ya? Okey lah, BYE!”

Kenapa dengan penuh yakin aku potong cakap dia. Pertama sebab aku tahu kedudukan kewangan aku. Aku tahu berapa hutang aku. Dengan siapa aku hutang. Dan sah-sah lah orang ni kencing aku sebab seumur hidup aku, aku tak pernah buka akaun dengan Hong Leong.

Aku berpegang kepada kata-kata ini ‘Manusia itu musuh kepada apa yang dia tak tahu’. Bila kita tak tahu, amat mudah untuk kita jadi mangsa-mangsa penipuan dan dianiaya.

Mula-mula dulu aku takut dan aku malu sendiri nak tengok jumlah hutang. Hutang kereta, PTPTN dan semualah. Tetapi bila Allah tunjukkan aku jalan untuk aku susun atur balik kedudukan kewangan aku, nak tak nak memang aku kena hadapinya.

Banyak cara untuk kau semak berapa banyak hutang kau.
Salah satunya kau boleh buat semakan sendiri di Bank Negara. Untuk lebih lanjut kau boleh pergi laman web credit bureau Bank Negara. Senang-senang klik je lah link ni http://creditbureau.bnm.gov.my/reportobtain.html.

Yang kedua, kau boleh buat semakan sendiri melalui online. Tapi yang ini ada caj dan mungkin makan masa dalam beberapa hari kau nak dapat report kredit tersebut. Macam yang aku buat hari tu, aku kena dalam RM 10.60. dan aku buat di website credit bureau. Ini link dia https://creditbureau.com.my/

Untuk cara begini memang sesuai lah bagi mereka yang malas nak pergi KL dan menapak. Macam aku. Hew hew hew.

Nanti dalam report tu akan keluar semua rekod hutang-hutang kau dari semua institusi kewangan yang kau pernah terbabit. Mana yang tertunggak. Berapa baki hutang. Mana yang kau bayar cantik atau tak.

Bila kau dah tahu status kredit kau, InsyaAllah, tuhan lorongkan jalan mudahkan urusan kau langsaikan hutang. Bila ada rekod, jadi mudah kerja untuk rangka plan, susun kembali kedudukan kewangan kau.

Dan rekod kredit ini jugalah yang akan menentukan berapa kelayakan pinjaman untuk rumah atau mana-mana pinjaman akan datang.

Apapun hutang tetap hutang, dan wajib bayar. Kalau kau tak mampu nak bayar sekarang, sekurang-kurangnya tunjukkan lah usaha tu. Lari dari masalah bukan penyelesaian. Tapi ia mengundang bala.

Lagi satu, scammer ni kalau nak menipu dia boleh guna nombor telefon apa sahaja. Satunya sebab aku dah pernah kena dengan nombor lain sebelum ni. Jadi jangan bergantung harap dengan nombor tersebut. Sebab mereka boleh guna nombor lain. Nak pau duit orang kan, mestilah kreatif ye dak!

Untuk selamat, ambil perhatian status kewangan dan hutang kau dari semasa ke semasa.

Moga perkongsian aku ni sedikit sebanyak dapat bantu ramai orang yang tengah pening pasal hutang.